Hishammuddin gali kubur, KJ paling dibenci
Abdul Halim Mohd Rashid
harakahdaily

“Tidak bertanggungjawab!!”

Itulah bait-bait Ketua Pergerakan Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein terhadap Pengerusi Biro Antarabangsa dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) pergerakan itu, Datuk Mukhriz Mahathir.

Mukhriz mengutus surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta beliau berundur serta bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keputusan pilihan raya umum 8 Mac lepas.

Ketika menuduh Mukhriz tidak bertanggungjawab, Hishammuddin sempat mengangkat dirinya sebagai “tidak akan lari daripada tanggungjawab selagi saya menjadi Ketua Pemuda dan amanah yang diletakkan di atas bahu saya akan dipikul dengan penuh azam”.

Memang, dia tidak akan lari dari tanggungjawab menggali kubur politiknya bersama-sama Abdullah dan menantunya, Khairy Jamaluddin.

“Gali, galilah kubur politik engkau bersama-sama Khairy dan bapa mertuanya, Hishammuddin!” kata seorang rakan di dalam Umno yang ditemui tadi.

Selepas Allahyarham Tunku Abdul Rahman Al-Haj dalam pilihan raya umum 1969 (Perikatan banyak kehilangan kerusi diwakili Melayu di samping kerusi-kerusi lain) dan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pilihan raya umum 1999 (Barisan Nasional hanya mendapat 35 peratus undi Melayu), siapa boleh menafikan Khairy adalah orang yang paling dibenci oleh orang-orang Melayu? Bukan sahaja orang-orang Melayu, malah majoriti besar rakyat.

Apa yang didakwa kemenangannya di Rembau semakin dipertikaikan (selain gangsterisme yang didedahkan oleh Che’ Gu Bard, bagaimana 957 undi untuk Parlimen Rembau hilang?). Jangankan orang lain, orang-orang Umno sendiri tidak percaya Khairy menang. Mereka menuduh beliau wakil postal (votes). Bukan wakil rakyat.

Selepas dibenci, Tunku dikasihi manakala Dr Mahathir pula dihormati. Ketika Tunku kembali ke sisi Tuhannya, beribu-ribu rakyat berebut-rebut untuk mengerjakan solat jenazah untuknya di Masjid Zahir, Alor Setar.

Pandangan-pandangan Dr Mahathir pula sehingga kini ditagih oleh rakyat. Kenyataan-kenyataannya dijadikan senjata untuk memerangi Abdullah dan Khairy serta juak-juak mereka dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Bagaimana dengan Khairy? Orang-orang Umno sendiri memeranginya sekarang. Kebencian mereka terhadap Khairy meluap-luap sehingga ke tahap menuntut bapa mertuanya berundur.

Pada masa yang sama, dalam usaha terdesak untuk mempertahankan kepimpinan Abdullah, mereka yang dituduh sebagai “orang-orang Khairy” mengadakan tunjuk perasaan di sana sini.

Mereka menggunakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebagai slogan perang atau battle cry mereka.

Kalau bosan dua tiga hari ini, bolehlah bergelak ketawa dengan berita-berita seperti “3,000 bantah hapus DEB di P. Pinang” (Utusan Malaysia), “Bertam buat laporan polis berikutan kenyataan Guan Eng” (Bernama), “Peguam buat laporan polis terhadap Guan Eng” (Utusan Malaysia), “Pentadbiran baru kerajaan Selangor didakwa boneka DAP ” (Utusan Malaysa), “DAP lupa fakta DEB ? Samy Vellu” (Utusan Malaysa), “DEB: Umno demo bantah Guan Eng” (Malaysiakini), “Hapuskan DEB tindakan orang buta sejarah” (Bernama) “Tindakan DAP hapus DEB akan cetus ketegangan antara kaum, kata Khoo” (Bernama), “DEB: Guan Eng diselar” (Utusan Malaysia), “KM Pulau Pinang berdolak-dalik”(Utusan Malaysia) dan banyak lagi.

Tetapi yang paling kelakar ialah berita Utusan Malaysia bertajuk “Amaran kepada Guan Eng – Jangan buat kenyataan semarakkan ketegangan kaum ? PM”.

Kononnya!

Kenapa Abdullah tidak cakap mengenai ketegangan kaum ketika pentadbirannya membuang DEB? Dalam posting bertajuk “Bila Mahathir dan Razaleigh berkongsi pentas”, Datuk A Kadir Jasin melaporkan:

Tengku Razaleigh dalam pidatonya yang kemas dan mantap menyesali tindakan-tindakan yang menyebabkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) seperti yang diilhamkan oleh Tun Abdul Razak gagal mencapai matlamatnya.

Beliau lebih kecewa kerana kini Umno dan pemerintahan yang dipeloporinya bukan sahaja tidak lagi komited kepada idealisme DEB, malah bulat-bulat menolak serta bertindak dengan cara yang mensabotaj keunggulan visi Tun Abdul Razak itu.

Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh merujuk kepada konsep pokok Wilayah Pembangunan Iskandar (Iskandar Development Region) dan pewujudan dua zon bebas (Free Access Zone) sebagai contoh mutakhir penolakan DEB oleh pentadbiran sekarang.

Kedua pemimpin veteran itu bimbang aset negara, khasnya yang dipegang oleh Bumiputera, akan jatuh ke tangan orang asing dan tidak mungkin boleh ditebus kembali.

Dalam posting bertajuk “DEB sedang tenat atau sudah ditalkinkan” pula, Kadir melaporkan:

Beberapa saat sebelum khatib Masjid Negara membaca khutbah Jumaat 15 Jun memuji pemimpin negara kerana menaikkan gaji kakitangan awam, seorang eksekutif kanan sebuah bank berbisik kepada saya.

Katanya, di dalam suatu majlis anjuran Kelab Perniagaan Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Business Club), seorang pembesar negara yang sangat besar berkata Dasar Ekonomi Baru (DEB) akan dihapuskan.

Mengikut cerita beliau yang disampaikan secara tergesa-gesa kerana khatib akan memulakan khutbah memuji pemerintah, seorang eksekutif asing bertanya kepada pembesar yang sangat besar itu apakah syarat pemilikan Bumiputera yang dikecualikan di Wilayah Pembangunan Iskandar (IDR) akan diperluaskan ke seluruh negara jika IDR berjaya.

Pembesar yang sangat besar itu, menurut eksekutif bank terbesar di Persekutuan Malaysia itu berkata: Jawapan ringkasnya adalah ya.

Untuk penjelasan lanjut mengenai penghapusan DEB di Wilayah Pembangunan Iskandar itu, sila baca posting blogger Umno, The thirteen million plus Ringgit guy bertajuk “Musa calls NEP be revoked in South Johor?”.

Sebab itulah seorang lagi blogger Umno, A Voice bertanya, entah di manakah Umno semasa Tun Musa Hitam dan Pak Lah mengakhirkan DEB di WPI?

Mempertahankan pemerintahan Abdullah, yang menurut Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu sudahpun nyawa-nyawa ikan, akan membawa kehancuran dan pemberontakan lebih besar. Bezanya, pemberontakan kali ini bukan dari rakyat umum tetapi dari ahli-ahli Umno sendiri.

p/s: Ayat² drastik telah digubah .

Comments

comments

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *